Emas ialah unsur kimia dalam jadual berkala yang mempunyai simbol Au (L. aurum) dan nombor atom 79. Emas merupakan logam lembut, berkilat, berwarna kuning, tumpat, mudah ditempa, mulur, logam peralihan ( trivalen dan univalen ), dan stabil, iaitu tidak bertindak balas dengan kebanyakan bahan kimia. Walau bagaimanapun emas boleh diserang oleh klorin, fluorin dan akua regia. Logam ini selalunya hadir dalam bentuk ketulan nugget di dalam batuan dan longgokan aluvium. Emas juga merupakan salah satu logam untuk pembuatan duit syiling.
Emas digunakan sebagai piawai mata wang untuk banyak negara dan digunakan dalam industri barang kemas, pergigian, dan elektronik. Kod matawang ISO bagi emas ialah XAU.
Emas merupakan pengalir haba dan elektrik yang baik, dan tidak dipengaruhi oleh udara dan kebanyakan reagen. Secara kimianya, logam emas tidak boleh diubah oleh haba, kelembapan, dan kebanyakan agen menghakis dan oleh itu ia amat sesuai digunakan sebagai duit syiling dan barangan kemas.
Emas tulen mengandungi antara 8% dan 10% perak, tetapi biasanya kandungan tersebut lebih tinggi. Aloi semula jadi dengan kandungan perak yang tinggi dipanggil elektrum. Apabila kuantiti perak bertambah, warnanya menjadi lebih putih dan ketumpatan tentunya berkurangan.
Aloi dengan kuprum menghasilkan logam kemerahan, aloi besi berwarna hijau, dan aloi aluminum berwarna ungu. Barang kemas yang dibuat dengan kombinasi emas yang berwarna dijual di Amerika Syarikat dan dikenali sebagai emas Black Hills.
Keadaan pengoksidaan emas yang biasa termasuk +1 dan +3.
Memandangkan emas merupakan pemantul pancaran inframerah dan cahaya tampak yang baik, logam ini digunakan sebagai lapisan pelindung pada satelit buatan manusia.
Pada 1998, kerajaan Malaysia mencadangkan penggunaan emas sebagai mata wang perdagangan dunia seperti mana yang diperkenalkan semasa zaman Rasulullah dahulu. Emas dipilih kerana sifat kimianya yang stabil dan nilainya yang tidak berubah. Selain itu, dinar emas juga dharap dapat menggantikan pergantungan dunia terhadap Dollar Amerika dan Euro. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, dinar emas tidak akan menggantikan mata wang setempat (sebagaimana Euro), tetapi mata wang ini hanya akan digunakan sebagai mata wang perdagangan antara negara sahaja.
Nilai dinar emas adalah sama dengan nilai piawai emas dalam Perjanjian Bretton Woods.
Emas telah lama dianggap sebagai logam yang paling berharga, dan nilainya telah digunakan sebagai piawai untuk banyak matawang dalam sejarah. Emas telah digunakan sebagai simbol ketulenan, nilai tinggi, kedaulatan, dan lebih-lebih lagi peranan yang mengaitkan sifat-sifat tersebut (lihat album emas).
Matlamat utama ahli alkimia adalah untuk menghasilkan emas daripada bahan yang lain, seperti karbon — kemungkinan melalui tindak balas dengan sejenis bahan dongengan yang digelar philosopher's stone. Meskipun usaha mereka tidak pernah mendapat hasil, namun ahli alkimia telah menaikkan keminatan terhadap bidang melibatkan unsur, yang menjadi asas kepada bidang kimia masa kini. Simbol mereka untuk emas ialah bulatan dengan titik di tengah-tengah, yang merupakan simbol matahari dalam bidang astrologi.
Pada kurun ke-19, perpindahan secara beramai-ramai disebabkan penemuan emas berlaku bila-bila sahaja longgokan emas dijumpai, termasuklah di California, Colorado, Otago, Australia, Black Hills, dan perpindahan beramai-ramai Klondike.
Untuk sekian lamanya nilai emas diletakkan oleh kerajaan Amerika Syarikat pada harga $20.67 per troy auns, namun pada tahun 1934 nilai ini ditetapkan pada harga $35.00 per troy auns. Disebabkan krisis emas pada Mac 17 1968, satu skim peletakan harga dua peringkat diperkenalkan di mana emas masih lagi digunakan untuk menguruskan akaun antarabangsa pada nilai lama iaitu $35.00 per troy auns ($1.13/g) tetapi harga emas dalam pasaran persendirian dibenarkan untuk turun-naik. Pada 1975 sistem dua peringkat ini diabaikan apabila harga emas dibenarkan untuk turun-naik. Semenjak 1968 harga emas pada pasaran terbuka telah turun-naik dengan luasnya, dengan rekod tertinggi $850/oz ($27,300/kg) pada 21 Januari 1980, sehinggalah ke rekod terendah $252.90/oz ($8,131/kg) pada 21 Jun 1999 (Tetapan London). Harga emas telah meningkat ke $500/oz pada penghujung 2005, oleh sebab susut nilai dolar Amerika dan inflasi akibat kenaikan kos tenaga.
Oleh kerana kegunaannya sebagai stor simpanan nilai, pemilikan emas persendirian kadang kala dihadkan atau diharamkan. Di dalam Amerika Syarikat, pemilikan emas secara persendirian kecuali sebagai bahan kemas atau pengumpulan duit syiling diharamkan dari tahun 1933 ke tahun 1975.
Sebagai pelaburan ketara, emas kadang kala dipegang sebagai sebahagian daripada portfolio kerana pada jangka masa yang panjang emas telahpun memiliki sejarah yang lama dalam pengekalan nilainya. Emas menjadi semakin menarik di saat-saat keyakinan rendah dan semasa hiperinflasi kerana emas mengekalkan nilainya walaupun apabila wang hampa menjadi tidak bernilai.
Kontrak berniaga hadapan berasaskan emas kini diniagakan oleh pelbagai bursa di seluruh dunia.
Sejak tahun 1880-an Afrika Selatan telah menjadi sumber kepada dua pertiga bekalan emas dunia. Bandar Johannesburg dibina di atas jumpaan emas terbesar di dunia. Kawasan lombongan emas di Orange Free State dan Transvaal adalah amat dalam dan kawasan ini merupakan kawasan perlombongan terdalam di dunia. Peperangan Boer 1899 - 1901 di antara orang British dan orang-orang putih Boer adalah sebahagiannya berpunca daripada hak pelombong dan pemilikan emas yang kaya di Afrika Selatan. Lombong-lombong di Dakota Selatan dan Nevada membekalkan dua pertiga daripada emas yang digunakan di Amerika Syarikat.
Emas diasingkan daripada bijihnya menggunakan sianida, amalgam, dan peleburan. Penulenan logam biasanya dijalankan menggunakan elektrolisis. Logam ini terdapat di dalam air laut pada kepekatan 0.1 to 2 mg/ton bergantung kepada kedudukan sampel. Walau bagaimanapun, sehingga kini iaitu tahun 2006 tidak terdapatnya apa-apa cara yang boleh memberi hasil keuntungan sekiranya emas diperolehi daripada air laut.
Emas bukan sahaja penting kepada industri dan kesenian, ia juga mengekalkan status istimewa di kalangan komoditi-komoditi lain sebagai stor simpanan nilai. Dijangkakan bahawa kesemua emas di dunia yang telah ditulenkan boleh membentuk sebuah kiub berukuran 20 m (60 kaki) pada setiap sisi.
Goud | Злато | Or | Zlato | Aur | Guld | Gold | Gold | Oro | Oro | Kuld | Kulta | Or | זהב | Zlato | Arany | Emas | Oro | Gull | Oro | 金 | Zêr | Aurum | Gold | Goud | Auksas | Zelts | Goud | Gull | Gull | Aur | Złoto | Ouro | Золото | Gold | Zlato | Zlato | Злато | Guld | தங்கம் | ทองคำ | Золото | Vàng | 金